Semasa makan tiada apa yang menarik dibualkan. Sesekali terdengar bunyi denting sudu pada mangkuk berisi soto. Si ayah selesai makan. Si ayah menuju ke dapur dan membersihkan jemari dengan sisa lauk rendang. Si ayah kembali ke meja makan, lalu mengarahkan matanya ke jam dinding. Jam tidak bergerak!
"La, jam ni dah mati rupanya.." Si ayah memandang si ibu.
Serentak, tujuh beranak itu tergelak kecil. Tak siapa pun perasan yang jam dinding tersebut telah kehabisan bateri. Tambahan pula, ada lebih kurang tiga buah jam dinding di tingkat bawah, jadi tak hairanlah kalau ada yang perasan tapi tiada inisiatif untuk menggantikan bateri untuk jam yang telah mati tadi.
Tiba-tiba, terdengar suara kecil berbunyi, "Ibu, jam boleh mati ke? Kalau dah mati kenapa kita tak masukkan dia dalam kubur?"
Si abang terbeliak. Terperanjat dengan soalan yang keluar dari mulut kanak-kanak lelaki berumur 7 tahun itu. Si ibu memandang si abang sambil tersengih. Mungkin si ibu hendak memberitahu "Tengok, kan ibu dah cakap, adik kau ni pandai dia lain macam sikit"
Lalu si ibu mengusap-usap kepala anak bongsunya itu sambil tersenyum. "Jam 'mati' tu maksudnya jam tu dah habis bateri. Bukan mati macam manusia tu. Kalau dah habis bateri, kita kenalah ganti dengan bateri yang baru"
Si adik, "O..."
"Kau ni dik, soalan kau semua bijak-bijak. Kau ni bijak sebenarnya,cuma malas..bila suruh belajar je tidur.." Sempat pula si ibu berleter.
Tujuh beranak itu tergelak lagi. Sekurang-kurangnya pagi itu si adik telah belajar sesuatu, jam tak masuk kubur.